Sinopsis
Raja Indera Maya diminta oleh nakhoda kapal mengenal jantina anak itik yang baru menetas. Jika dapat mengenalnya, baginda akan memperoleh tiga buah kapal termasuk semua muatan yang ada di dalamnya. Sebaliknya, negeri baginda akan menjadi milik nakhoda,sekiranya baginda gagal mengenal pasti jantina anak itik itu.
Pak Belalang sebagai ahli nujum dititahkan baginda menyelesaikan masalah tersebut. Pak Belalang berdukacita kerana takut helah pembohongannya akan diketahui oleh Raja Indera Maya. Pak Belalang berdoa agar Allah membantunya menyelesaikan masalah tersebut.
Pada malam yang ketiga, Pak Belalang mengayuh sampan mendekati kapal nakhoda. Pada masa itu nakhoda sedang berbual dengan isterinya. Pak Belalang gembira kerana dapat mendengar rahsia tentang cara menentukan jantina anak itik melalui perbualan nakhoda dengan isterinya itu.
Pada pagi esoknya, nakhoda dan anak-anak kapalnya hadir menghadap Raja lndera Maya. Pak Belalang pun dipanggil menghadap. Dengan mudah Pak Belalang dapat menjawab soalan nakhoda. Jantina anak itik dapat dikenal pasti apabila dilepaskan ke dalam air. Anak itik betina cepat menyelam manakala anak itik jantan lambat menyelam. Dengan terjawabnya persoalan itu, nakhoda terpaksa menyerahkan ketiga-tiga buah kapalnya kepada Raja Indera Maya. Nakhoda, isteri, dan anak-anak kapalnya pulang ke negeri mereka dengan berpakaian sehelai sepinggang dan menaiki tiga buah perahu yang diberikan oleh Raja Indera Maya.
Pelajar Ken sila kunjungi Sudut Pelajar Ken untuk mendapatkan nota yang lengkap [ sinopsis/plot/watak/perwatakan/tema/persoalan/gaya bahasa/latar/nilai/pengajaran....]