TERMINAL TIGA
Dalam novel Terminal Tiga, penulisnya iaitu Othman Puteh menegur sikap masyarakat yang tidak menggunakan akal fikirannya semasa berhadapan dengan sesuatu keadaan. Sebagai contoh, Rimpa tidak menggunakan akal fikirannya dalam menerima pelawaan kenalan barunya untuk minum minuman keras. Walaupun Rimpa menerima pelawaan itu tetapi akhirnya Rimpa menyesali perbuatannya apabila Abang Maily memarahinya.
Selain itu, pengarang juga menegur sikap masyarakat yang tidak mempunyai rasa simpati dan belas kasihan. Kenalan-kenalan Rimpa tidak mempunyai rasa simpati atau belas kasihan kepada nasib Rimpa. Semasa Rimpa memerlukan tempat untuk menumpang, tada sesiapa pun membantunya.
SETEGUH KARANG
Dalam novel Seteguh Karang, penulisnya iaitu Tuan Faridah Syed Abdullah menegur masyarakat yang suka mendiskriminasikan sesama manusia kerana jantina. Dalam novel ini, Encik Johari iaitu pengurus Ladang di PPK Hulu Paka Terengganu, tempat Awanis menjalani praktikal tidak suka pelajar perempuan. Dia menganggap pelajar perempuan tidak mampu membuat kerja, suka curi tulang dan suka berbohong. Dia bersikap kasar kepada Awanis dan menuduh Awanis lembik dan manja semasa motosikal yang ditunggang oleh Awanis tidak boleh dihidupkan.
Selain itu, pengarang juga menegur masyarakat yang tidak dapat menerima takdir Tuhan dengan hati yang terbuka. Dalam novel ini, Kak Maysarah tidak dapat menerima kematian ayah dan ibunya menyebabkan dia hidup dalam kemurungan. Dia berasa bersalah sepanjang masa. Sementara itu, keluarga kandung Anita pula membuangnya daripada keluarga kerana percaya bahawa kelahiran Anita membawa sial kepada keluarganya.