Sinopsis
Cerpen ini mengisahkan seorang remaja lelaki bernama Haidi. Dia mempunyai seorang adik perempuan bernama Sutina(ringkasnya Tina). Namun begitu adik yang sangat disayanginya itu telah meninggal dunia ketika kecil kerana menghidap sakit jantung. Kehilangan Tina begitu dirasainya.
Kenangan suka duka bersama Tina muncul kembali dalam ingatan Haidi apabila dia bersua dengan seorang pelajar perempuan bernama Kursiah yang mirip wajah dan perwatakan Tina di sekolah barunya. Setelah beberapa kali berusaha untuk bertemu muka dengan Kursiah, akhirnya Haidi dapat juga berbual dengan Kursiah walaupun tidak mendapat layanan yang mesra sewaktu rehat di kantin sekolah.
Pada hari sukan, Haidi dapat bertemu dan berbual sekali lagi dengan Kursiah yang kebetulan satu rumah sukan dengannya. Kursiah merupakan pelari jarak jauh. Haidi sangat gembira kerana Kursiah mula melayannya. Dia membayangkan adiknya Tina kalau masih hidup tentulah sebaya Kursiah juga. Haidi sempat mencabar Kursiah dengan hadiah RM5.00 jika berjaya menjadi johan dan disambut baik oleh Kursiah.
Kursiah akhirnya berjaya menjadi johan, membuatkan Haidi berasa sangat gembira dan teringatkan adiknya Tina. Namun begitu Haidi terkejut dan tiba-tiba menjadi tidak bermaya apabila melihat Kursiah diusung di atas tandu dengan muka yang biru. Haidi meraung dan menjerit supaya Kursiah segera dihantar ke hospital. Dia tidak mahu kejadian yang menimpa adik kesayangannya, Tina terjadi kepada Kursiah pula. Dalam keadaan lemah itu Haidi berdoa agar Kursiah tidak mati dan dapat menjadi pengganti adiknya, Tina.
Permulaan
Dalam cerpen "Tina", cerita dimulakan dengan kenangan watak "`aku" terhadap pertemuannya dengan seorang pelajar perempuan yang seakan-akan adiknya, Tina yang telah meninggal dunia. Kesan peristiwa itu, dia teringat akan adiknya Tina yang telah pengsan ketika bermain layang-layang. Dalam peristiwa ini digambarkan Tina sebagai watak kanak-kanak periang dan bercita-cita tinggi. Ketika pengsan Tina mengalami tanda-tanda sakit jantung.
Perkembangan
Cerita berkembang menerusi usaha Haidi untuk bersua muka dengan Kursiah. Kali pertama dia gagal kerana gadis itu berjaya melarikan diri. Kali kedua dia dapat berbual dengan gadis tersebut di kantin sekolah walaupun tidak mendapat layanan baik daripadanya. Akhirnya, dia dapat berbual mesra dengan gadis tersebut ketika Hari Sukan kerana dia serumah dengan gadis itu. Gadis itu menyertai acara lari jarak jauh manakala Haidi pula menyertai acara lompat tinggi.
Klimaks
Klimaks cerita berada pada -peristiwa gadis tersebut pengsan setelah memenangi acara 5 000 meter. Haidi begitu terkejut dan takut kalau-kalau gadis tersebut akan meninggal dunia seperti adiknya, Tina.
Peleraian
Cerita diakhiri dengan Haidi teringat akan adiknya Tina yang diusung keluar dari ambulans, diikuti dengan tangisan keluarga dan orang-orang kampung. Haidi pula tidak jadi menyertai acara lompat tinggi kerana badannya lemah dan terpaksa dipapah setelah melihat peristiwa yang dialami oleh gadis tersebut. Namun begitu, Haidi tetap berdoa agar gadis itu tidak meninggal dunia dan dapat menjadi pengganti adiknya, Tina.
Imbas kembali
Dalam mengembangkan plot, pengarang menggunakan teknik imbas kembali untuk mengemukakan kenangan Haidi terhadap adiknya, Tina. Pengarang turut memasukkan unsur konflik pada watak Haidi, iaitu Haidi berasa sedih dan sering teringat akan peristiwa bersama adik kesayangannya yang telah meninggal dunia dan ketika dia berhadapan dengan gadis yang seakan-akan adiknya yang tiba-tiba pengsan setelah menyertai perlumbaan lari jarak jauh.
Pelajar Ken sila kunjungi Sudut Pelajar Ken untuk mendapatkan nota yang lengkap [ sinopsis/plot/watak/perwatakan/tema/persoalan/gaya bahasa/latar/nilai/pengajaran....]