PENGUMUMAN

BLOG INI DITERBITKAN UNTUK MEMUDAHKAN ANAK-ANAK MURID SAYA MEMUAT TURUN LATIHAN, NOTA, JAWAPAN CONTOH , RAMALAN DAN MEMBERIKAN CADANGAN. BAHAN-BAHAN DALAM "SUDUT PELAJAR" HANYA UNTUK RUJUKAN MURID-MURID KEN SAHAJA. HAL INI BERLAKU DEMIKIAN KERANA SESETENGAH BAHAN DALAM SUDUT PELAJAR MERUPAKAN BAHAN KAWALAN HAK CIPTA, OLEH ITU SAYA TIDAK BERHAK MENGUMUMKAN BAHAN-BAHAN PILIHAN TERSEBUT. JADI, JANGAN MARAH SEKIRANYA ANDA TIDAK DAPAT MELAYARI "SUDUT PELAJAR". SILA HUBUNGI SAYA MELALUI MSN: kenlee@live.com.my SEKIRANYA ANDA MEMPUNYAI SEBARANG PERTANYAAN ATAU PERMINTAAN. SAYA SEDIA MENOLONG. TERIMA KASIH.



TAKWIM PEPERIKSAAN

Custom Search
PENGUMUMAN TARIKH PEPERIKSAAN AWAM


UPSR 2011
UPSR Ujian Bertulis 13, 14 & 15 September 2011 (3 hari)


PMR 2011
Ujian Bertulis 4-6 Oktober 2011,10 - 11 Oktober 2011 (5 hari)


SPM 2011
AMALI OKTOBER
Ujian Bertulis 14 November - 14 Disember 2011 (16 hari)


STPM 2011
LISAN 20 - 22 Sept & 27 - 29 Sept 2011
BERTULIS 21 November 2011 - 15 Disember 2011

                                           Ken Lee

Sunday, August 16, 2009

CONTOH SOALAN NOVEL

SOALAN

Huraikan tiga perbezaan perwatakan berdasarkan dua watak dalam sebuah novel yang

anda pelajari.

JAWAPAN CONTOH

TERMINAL TIGA

Terminal Tiga hasil karya Othman Puteh memaparkan perbezaan yang ketara di antara watak utama dengan watak sampingan iaitu di antara Rimpa dendan Ruzaini. Rimpa seorang yang berdikari, manakala Ruzaini tinggal di kampung kelahirannya. Untuk mengubah nasib, Rimpa melanjutkan pelajarannya di Akademik Seni Kebangsaan di Kuala Lumpur, manakala Ruzaini lebih selesa dengan apa yang sedia ada, lalu tinggal di kampung sahaja. Perbezaan kedua, Rimpa berbakat dalam seni, manakala Ruzaini tidak berbakat dalam bidang tersebut. Hal ini terbukti apabila Rimpa melanjutkan pelajarannya di Akademik Seni Kebangsaan dalam bidang teater, manakala Ruzaini tidak digambarkan oleh pengarang akan bakatnya dan kita menganggap Ruzaini tidak berbakat dalam bidang seni. Perbezaan yang ketiga, Rimpa bertindak mengikut fikiran, manakala Ruzaini bertindak mengikut emosi. Hal ini dibuktikan apabila Rimpa meninggalkan kampung halamannya bertujuan melanjutkan pelajaran, manakala Ruzaini meninggalkan keluarga mengikut pendakwah yang tidak diketahui tujuannya.

SETEGUH KARANG

Berdasarkan novel Seteguh Karang hasil karya Tuan Faridah Syed Abdullah, terdapat perbezaan perwatakan yang jelas menerusi dua watak yang dikaji iaitu Awanis (Anis) dan Maysarah (Kak May). Pertama, Awanis seorang yang gigih menghadapi dugaan hidup manakala Kak May mudah patah semangat. Sebagai contoh, Awanis gigih belajar sehingga berjaya menamatkan pengajian di UiTM, manakala Kak May seorang yang mudah patah semangat apabila kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia, dia menjadi seorang yang murung. Kedua, Awanis seorang yang penyayang, manakala Kak May mudah membenci orang lain. Sebagai contoh, Awanis menyayangi Anita walaupun tahu Anita anak angkat. Kak May mudah marah-marah terhadap Anita dan memberitahu bahawa Anita itu anak angkat kepada keluarganya. Ketiga, Awanis memiliki sikap bekerjasama manakala Kak May mementingkan diri sendiri. Sebagai contoh, Awanis membantu Cikgu Rushda, manakala Kak May seorang yang tidak suka membantu orang lain dan masanya dihabiskan di rumah.




SOALAN

Setiap novel memberi kesan yang positif kepada pembaca.

Berikan tiga peristiwa yang memberi teladan kepada pembaca.

JAWAPAN CONTOH

TERMINAL TIGA

Berdasarkan novel Terminal Tiga hasil karya Othman Puteh, peristiwa yang memberi teladan kepada pembaca ialah kejadian ayah Rimpa yang menghilangkan diri selama sepuluh tahun. Rimpa akur dengan permintaan ibunya mencari ayahnya hingga memaksa dia ke Nabawan. Hal ini menunjukkan betapa perlunya kita memenuhi hajat ibu kita, apatah lagi untuk mencari orang yang disayangi. Kedua, peristiwa Rimpa melihat Bang Maily mengerjakan solat. Kejadian tersebut telah mendorong Rimpa untuk memeluk agama Islam. Hal ini menunjukkan betapa perlunya kita mengamalkan tingkah laku yang mulia untuk mempengaruhi orang lain supaya berbuat baik. Ketiga, perubahan sikap Ruzaini dan perkhabaran Ruzaini mengikut kumpulan tabligh. Peristiwa ini menguji perasaan Rimpa yang menaruh hati terhadap perempuan itu. Hal ini menunjukkan, untuk berjaya kita jangan berasa kecewa menghadapi hal-hal yang remeh.

SETEGUH KARANG

Berdasarkan novel Seteguh Karang hasil karya Tuan Faridah Syed Abdullah, peristiwa yang memberi teladan kepada pembaca ialah kejadian apabila kedua-dua orang tua Awanis terkorban dalam kemalangan jalan raya. Peristiwa ini berlaku ketika mereka berdua dalam perjalanan pulang dari PUlau Pinang. Hal ini menunjukkan kita pelu berhati-hati ketika memandu dan ajal maut di tangan Allah. Kedua, peristiwa keluarga kandung Anita menolak kehadiran Anita. Keluarga Anita menganggap Anita pembawa sial, sebab itulah diserahkan kepada orang lain ketika masih kecil. Hal ini menunjukkan, dalam masyarakat masih ada yang berfikiran sempit, lalu kita jangan bertindak seperti itu terhadap ahli keluarga kita sendiri. Ketiga, peristiwa Maysarah dimasukkan ke hospital kerana menelan pil tidur secara berlebihan. Maysarah terlalu kecewa menghadapi dugaan hidup dan dia yakin dengan makan ubat tidur, nyawanya akan melayang dan masalah yang dihadapi akan selesai. Peristiwa ini menunjukkan bahawa kita perlu berserah kepada Allah apabila menghadapi dugaan hidup, bukan membunuh diri yang dilarang oleh agama.




SOALAN

Pengarang sesebuah novel cuba membuat teguran tentang amalan tidak sihat dalam

masyarakat bagi memberikan teladan dan sempadan. Berdasarkan novel yang anda

pelajari, jelaskan dua teguran tersebut.

JAWAPAN CONTOH

TERMINAL TIGA

Dalam novel Terminal Tiga, penulisnya iaitu Othman Puteh menegur sikap masyarakat yang tidak menggunakan akal fikirannya semasa berhadapan dengan sesuatu keadaan. Sebagai contoh, Rimpa tidak menggunakan akal fikirannya dalam menerima pelawaan kenalan barunya untuk minum minuman keras. Walaupun Rimpa menerima pelawaan itu tetapi akhirnya Rimpa menyesali perbuatannya apabila Abang Maily memarahinya.

Selain itu, pengarang juga menegur sikap masyarakat yang tidak mempunyai rasa simpati dan belas kasihan. Kenalan-kenalan Rimpa tidak mempunyai rasa simpati atau belas kasihan kepada nasib Rimpa. Semasa Rimpa memerlukan tempat untuk menumpang, tada sesiapa pun membantunya.

SETEGUH KARANG

Dalam novel Seteguh Karang, penulisnya iaitu Tuan Faridah Syed Abdullah menegur masyarakat yang suka mendiskriminasikan sesama manusia kerana jantina. Dalam novel ini, Encik Johari iaitu pengurus Ladang di PPK Hulu Paka Terengganu, tempat Awanis menjalani praktikal tidak suka pelajar perempuan. Dia menganggap pelajar perempuan tidak mampu membuat kerja, suka curi tulang dan suka berbohong. Dia bersikap kasar kepada Awanis dan menuduh Awanis lembik dan manja semasa motosikal yang ditunggang oleh Awanis tidak boleh dihidupkan.

Selain itu, pengarang juga menegur masyarakat yang tidak dapat menerima takdir Tuhan dengan hati yang terbuka. Dalam novel ini, Kak Maysarah tidak dapat menerima kematian ayah dan ibunya menyebabkan dia hidup dalam kemurungan. Dia berasa bersalah sepanjang masa. Sementara itu, keluarga kandung Anita pula membuangnya daripada keluarga kerana percaya bahawa kelahiran Anita membawa sial kepada keluarganya.




SOALAN

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, bincangkan kritikan penulis terhadap kepincangan yang berlaku dalam masyarakat.

JAWAPAN CONTOH

TERMINAL TIGA

Othman Puteh menerusi Terminal Tiga mengkritik akan sikap masyarakat. Pertama, sikap ayah yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contoh, ayah Rimpa telah meninggalkan kampung halamannya lebih 10 tahun tanpa memberi nafkah kepada keluarganya. Kritikan yang kedua, sikap mudah terpengaruh dengan hasutan. Sebagai contoh, Ruzaini terpengaruh dengan pujukan pendakwah yang datang ke kampungnya, menyebabkan dia mengikuti pendakwah itu meninggalkan kampung halaman. Kritikan yang ketiga, masyarakat yang suka meminta-minta. Contohnya, Rimpa terpaksa meminta biasiswa bagi membiayai pengajiannya disebabkan dirinya tidak berwang untuk melanjutkan pengajiannya.

SETEGUH KARANG

Menerusi novel Seteguh Karang, Tuan Faridah Syed Abdullah telah mengkritik akan kepincangan masyarakat. Pertama, sikap masyarakat yang suka menjaga tepi kain orang. Sebagai contoh, Kak Sofia dan Kak Maznah suka mengambil tahu akan hubungan di antara Awanis dengan Wan Asri. Kedua, masyarakat pekerja yang tiada semangat untuk bekerja, sebaliknya gemar membuang masa. Sebagai contoh, kakitangan pejabat Perhubungan Peladang Hulu Paka, Terengganu banyak menghabiskan masa dengan berbual-bual kosong dan membaca akhbar. Ketiga, masyarakat yang mudah kecewa dan tidak tabah menghadapi dugaan. Sebagai contoh, Kak Maysarah sentiasa bersedih dan bermurung selepas kematian abah dan mamanya. Keempat, masyarakat yang masih percaya kepada perkara karut. Sebagai contoh, Encik Lim percaya bahawa anaknya, Swee Ling ( Anita ) adalah anak sial yang menyebabkan perniagaannya merosot.




SOALAN

Unsur saspens dapat memikat pembaca untuk terus membaca sesebuah novel.

Berikan tiga contoh unsur saspens yang dapat anda peroleh berdasarkan sebuah novel

yang anda pelajari.

JAWAPAN CONTOH

TERMINAL TIGA

Novel Terminal Tiga hasil karya Othman Puteh memaparkan beberapa unsur saspens. Unsur saspens yang pertama ialah kesanggupan Rimpa meninggalkan kampung halaman untuk melanjutkan pelajaran di Akademik Seni Kebangsaan. Rimpa dan keluarganya berasa risau kerana Kuala Lumpur suatu tempat yang begitu asing bagi mereka.Pembaca saspens akan nasib Rimpa ketika berada di Kuala Lumpur . Unsur saspens yang kedua ialah kesanggupan Rimpa mencari ayahnya sehingga ke Nabawan. Ayahnya sudah 10 tahun tidak pulang dan tempat itu terlalu jauh dari kampungnya. Pembaca saspens apabila memikirkan nasib Rimpa kelak. Unsur saspens yang ketiga ialah tindakan Ruzaini meninggalkan keluarga untuk mengikut pendakwah. Rimpa risau dan pembaca saspens akan kesudahan nasib gadis itu sebab pendakwah itu tidak dikenali oleh keluarganya.

SETEGUH KARANG

Novel Seteguh Karang hasil karya Tuan Faridah Syed Abdullah memaparkan beberapa unsur saspens. Apabila mengkaji novel ini, unsur saspens terlihat ketika kematian Budi akibat dipatuk ular. Pembaca ingin mengetahui sama ada mayat Budi akan diterbangkan ke Indonesia atau tidak. Kedua, ketika Encik Johari mencabar Awanis menurunkan setandan buah kelapa sawit. Pembaca tertanya-tanya sama ada Awanis berjaya melakukannya atau tidak. Ketiga, ketika Anita lari dari rumah setelah bergaduh dengan Kak Maysarah. Pembaca ingin mengetahui nasib Anita seterusnya dan ingin tahu sebab-sebab Kak Maysarah menghalau Anita.




SOALAN

Peleraian ialah peringkat akhir dalam susunan plot yang menjadi penyelesaian cerita bagi sesebuah novel. Bandingkan pengakhiran dalam dua buah novel yang anda kaji.

JAWAPAN CONTOH

Dalam novel Seteguh Karang dan Terminal Tiga, peleraian yang dipaparkan oleh kedua-dua orang penulis iaitu Tuan Faridah Syed Abdullah dan Othman Puteh mempunyai sedikit persamaan. Kedua-dua novel ini diakhiri dengan watak mengalami keinsafan dan kembali ke pangkuan keluarga. Selain itu, unsur kegembiraan turut diselitkan.

Dalam novel Seteguh Karang, Awanis telah kembali ke Ipoh. Dia telah melawat kakaknya Kak Maysarah yang dimasukkan ke hospital kerana makan ubat tidur berlebihan di hospital, begitu juga dengan Anita. Kak Maysarah sedar akan kesalahannya selama ini. Mereka saling bermaafan dan wajah-wajah kegembiraan muncul semula. Kegembiraan bertambah lagi apabila Pak Oni, bapa saudara mereka menjadi ganti ibu bapa mereka. Semua dapat diselesaikan dengan baik apabila mereka semua dapat bersatu semula.

Dalam novel Terminal Tiga pula, ayah Rimpa telah kembali semula ke pangkuan keluarga setelah sepuluh tahun menghilangkan diri. Rimpa pula telah menerima berita gembira, iaitu dia telah berjaya mendapat bantuan biasiswa RM3000 setahun daripada Kementerian Kebudayaan Negeri Sabah. Rimpa gembira kerana cita-citanya akhirnya akan tercapai kerana kegigihannya belajar dan dia akan mendapat kejayaan dalam bidang penulisan kreatif. Selain itu, peleraian novel ini juga menyelitkan Ruzaini berasa insaf dan sedar akan kesilapannya.




Soalan 4 : Novel [ 15 markah ]

(a) Pelbagai latar yang digambarkan oleh penulis dalam sesebuah novel yang dihasilkan. Bincangkan latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.

RANGKA JAWAPAN:

Novel Terminal Tiga

i. masyarakat pedalaman

[ masyarakat pedalaman Sabah yang masih hidup bergantung pada hasil

pertanian dan hasil hutan ]

ii. masyarakat yang mementingkan pendidikan

[ Rimpa berusaha melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi ]

iii. masyarakat yang hidup tolong-menolong dan saling membantu

[Ruzaini membantu keluarga Rimpa semasa Rimpa melanjutkan pelajaran di

Akademi Seni Kebangsaan ]

Novel Seteguh Karang

i. masyarakat yang bekerja di ladang

[ diwakili oleh buruh-buruh Indonesia yang bekerja di ladang kelapa sawit ]

ii. masyarakat remaja yang gigih berusaha untuk mencapai kejayaan

[ Awanis gigih berusaha untuk mencapai cita-citanya ]

iii. masyarakat yang mempercayai kepercayaan karut

[ bapa Anita mempercayai bahawa Anita membawa sial kepada keluarga dan perniagaannya ]




SOALAN

Berdasarkan dua novel yang anda kaji, bandingkan latar masyarakat dalam setiap novel itu.

JAWAPAN CONTOH

Novel Terminal Tiga dan Seteguh Karang memaparkan latar masyarakat yang tersendiri. Dari segi tempat, masyarakat dalam Terminal Tiga melibatkan masyarakat tempatan Sabah, manakala dalam novel Seteguh Karang pula, masyarakat yang digambarkan ialah masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia.

Antara masyarakat yang digambarkan dalam novel Terminal Tiga ialah masyarakat daerah pedalaman. Rimpa berasal dari keluarga yang mengamalkan pertanian tradisi di pedalaman negeri Sabah manakala novel Seteguh Karang banyak berkisar tentang masyarakat pertanian moden yang mengusahakan ladang kelapa sawit, iaitu watak Awanis yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai sikap masyarakat tempat dia menjalani latihan amali dalam bidang pertanian.

Novel Terminal Tiga mengetengahkan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik. Contohnya, Ruzaini merupakan gadis Dusun, watak-watak lain berketurunan Orang Sungai, orang Melayu. Novel Seteguh Karang pula memaparkan masyarakat Melayu di beberapa tempat di negara ini. Contohnya, keluarga Awanis yang tinggal di Ipoh, masyarakat di Dungun dan sebagainya.



SOALAN

Tema merupakan pokok persoalan yang mengawal sesuatu cerita. Berdasarkan mana-mana dua novel yang telah anda kaji, bandingkan tema novel-novel tersebut.

JAWAPAN CONTOH

Dalam novel Seteguh Karang dan Terminal Tiga, tema yang cuba digarapkan oleh penulisnya, iaitu Tuan Faridah Syed Abdullah dan Othman Puteh mempunyai sedikit persamaan. Menerusi novel Seteguh Karang, novel ini membawa tema ketabahan seorang gadis dalam menempuh kehidupan yang mencabar. Hal ini dibuktikan menerusi watak Awanis yang tabah menempuh kehidupan selepas kematian ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya. Contoh yang kedua ialah kesanggupan Awanis pergi secara bersendirian untuk mendaftar diri di ITM ( UiTM Cawangan Arau bagi mengikuti kursus pengurusan ladang. Contoh yang ketiga ialah Awanis belajar menimba pengalaman ketika menjalani praktikal di Terengganu walaupun terpaksa berhadapan dengan Encik Johari yang suka membuli.

Novel Terminal tiga pula membawa tema kegigihan dan kecekalan dalam menuntut ilmu. Contohnya, Rimpa yang berasal dari pedalaman Sabah melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Kebangsaan, Kuala Lumpur. Rimpa menghadapi pelbagai kesukaran seperti terpaksa meninggalkan keluarga dan desa pedalamannya di Sabah, masalah kewangan untuk membiayai pengajiannya dan sara hidupnya serta masalah keluarga yang merisaukannya. Jelas di sini tema yang digarapkan oleh kedua-dua penulis watak utamanya berusaha menuntut ilmu di pusat pengajian tinggi dan terpaksa menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan.




SOALAN

Huraikan sinopsis dalam satu novel yang telah anda pelajari.

JAWAPAN CONTOH

TERMINAL TIGA

Terminal Tiga hasil karya Othman Puteh mengisahkan Rimpa yang berasal dari pedalaman Sabah meninggalkan keluarga yang miskin untuk mencuba nasib. Dengan bantuan keluarga angkatnya, Bang Maily, Rimpa berjaya melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dalam bidang Penulisan Kreatif. Pada suatu hari, Rimpa pulang ke kampung untuk bercuti sekali gus mencari ayahnya yang telah meninggalkan keluarga selama 10 tahun yang menyebabkan keluarga semakin susah. Sepanjang percutian itu, Rimpa bertemu dengan Ruzaini, iaitu gadis Dusun yang banyak mengambil berat tentang keluarganya sepanjang ketiadaannya.

Rimpa dimaklumkan oleh Ruzaini tentang kepulangan ayah Rimpa dan kehadiran kumpulan dakwah ke desa menyebabkan Ruzaini tertarik dengan Islam. Dengan bantuan Bang Maily, Rimpa berjaya memperoleh biasiswa daripada Kementerian Kebudayaan Negeri Sabah untuk membiayai pengajiannya. Cuti semester pertama memberi peluang kepada Rimpa pulang ke kampung halaman dan menemui ayahnya. Di tempat belajar, Jasmin memaklumkan bahawa kampus mereka akan berpindah ke Matic dan ini bermakna Rimpa akan berada di terminal ketiga bagi meneruskan perjuangnya mencapai cita-cita.

SETEGUH KARANG

Seteguh Karang hasil karya Tuan Faridah Syed Abdullah mengisahkan kehidupan Awanis yang telah kematian ibu bapa, tetapi bersikap tabah dan meneruskan pengajiannya di ITM (UiTM) cawangan Perlis. Dia telah menjalani praktikal di ladang kelapa sawit PPK Hulu Paka,Terengganu dan terpaksa menumpang di rumah Kak Nor. Ketika menjalani latihan di situ, dia sering dimarah oleh Encik Johari yang mendiskriminasikan manusia kerana jantina. Selain itu, dia juga terpaksa melakukan kerja dapur yang tidak pernah dilakukannya. Pada suatu hari, Awanis menerima panggilan telefon daripada Anita yang mengetahui kedudukan dirinya sebagai anak angkat.

Awanis menamatkan latihan praktikalnya dan membantu Anita mencari keluarga kandungnya. Ayah kandung Anita, Encik Lee tidak mahu menerima Anita sebagai anaknya kerana menganggapnya pembawa sial. Awanis bertengkar dengan kakaknya, Maysarah kerana menghalau Anita. Akhirnya Maysarah sedar akan kesilapannya serta faham bahawa adik-adinya masih lagi memerlukannya. Kehidupan mereka kembali mesra, namun Anita tetap mahu berdikari dan tidak mahu tinggal sebumbung dengan Awanis lagi.






SOALAN

Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan persoalan ketabahan yang

wujud dalam setiap novel tersebut.

JAWAPAN CONTOH

Dalam novel Seteguh Karang dan Terminal Tiga, persoalan ketabahan yang cuba diwujudkan oleh penulisnya, iaitu Tuan Faridah Syed Abdullah dan Othman Puteh mempunyai sedikit persamaan. Kedua-dua novel ini memaparkan persoalan ketabahan watak utama dalam menuntut di pusat pengajian tinggi dan menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan. Dalam novel Terminal Tiga, persoalan ini jelas digambarkan melalui watak Rimpa. Rimpa tabah dan berusaha untuk mendapatkan pinjaman atau biasiswa daripada institusi tertentu. Rimpa juga tabah menghadapi hidupnya setelah berada di tempat baharu. Dia tabah menghadapi kerenah manusia dan kenalannya yang tidak memahaminya. Suasana baharu juga menguji ketabahan Rimpa.

Dalam novel Setegug Karang pula, Awanis menghadapi cabaran dan dugaan yang dihadapinya dengan tabah. Awanis terpaksa berhadapan dengan Encik Johari iaitu pengurus Ladang di PPK Hulu Paka Terengganu, tempat praktikal Awanis yang mempunyai sikap diskriminasi jantina. Awanis berjaya menyelesaikan praktikalnya di ladang kelapa sawit PPK Hulu Paka walaupun Encik Johari selalu memarahi dan tidak membantu dia menjalankan kerja-kerja di ladang. Awanis juga begitu tabah ketika berada di rantau orang. Dia pandai membawa diri ketika berada di rumah Kak Nor.




____________________________________________

Konflik

Konflik merupakan satu teknik plot yang amat penting dalam sesebuah novel. Nyatakan
konflik-konflik yang berlaku antara watak-watak berdasarkan novel yang anda pelajari.

Terminal Tiga
• Rimpa dengan ibunya – Ibunya Rimpa menentang hasrat Rimpa yang ingin meneruskan pengajian dalam bidang Penulisan Kreatif di Akademi Seni Kebangsaan. Ibunya tidak mahu Rimpa meninggalkan keluarga. Walaupun mendapat tentangan daripada ibunya Rimpa tetap dengan keputusannya di samping bertekad untuk membawa perubahan dan melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan kemunduran.
• Rimpa dengan Ruzaini – Ruzaini menganggap kepulangan Rimpa sewaktu bercuti seolah-olah untuk melukakan hatinya. Ruzaini sering mengingatkan Rimpa tentang tanggungjawabnya terhadap keluarganya.
• Rimpa dengan Bang Maily – Rimpa tertarik akan agama Islam dan pernah menyatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam tetapi Bang Maily tidak menghiraukannya. Rimpa terpaksa mengambil waktu yang begitu lama untuk meyakinkan Bang Maily kerana Bang Maily tidak mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya.


Seteguh Karang
• Awanis dengan Encik Johari – Ketibaan Awanis di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Paka disambut dengan tegas dan penuh sindiran oleh Enci Johari. Encik Johari juga memberi tekanan kepada Awanis di tempat latihan praktikalnya dengan memperlekeh kebolehan kaum Jawa.
• Awanis dengan Maziah dan Sofia – Awanis bengang menghadapi kerenah Maznah dan Sofia menjadikan hubungannya dengan Asri sebagai bahan gurauan mereka.
• Anita dengan ayah kandungan – Anita yang dibawa berjumpa dengan keluarga kandungnya oleh Awanis tidak diterima oleh ayahnya. Anita juga kecewa akan ayah kandungnya yang masih kuat mempercayai perkara-perkara tahyul.
• Awanis dengan Maysarah – Awanis bertekak dengan Maysarah kerana dia membocorkan rahsia bahawa Anita hanyalah anak angkat keluarganya.
• Anita dengan Maysarah – Anita tidak disayangi oleh Maysarah dan pernah menyatakan bahawa Anita hanya adik angkatnya.

Ken Calculator

TeleMessage SMS Sender